Penyakit Jiwa

Artikel ini aku dapat dari blog seorang doktor...Reminder untuk aku...tentang past life aku...

Bipolar Disorder
(Psikosis)

Perubahan emosi normal berlaku setiap detik dan ketika. Mungkin pagi tadi anda marah kerana pemandu lain memotong barisan ketika anda sedang kepanasan di dalam kereta yang tiada penyaman udara. Emosi anda kembali ceria apabila anda dihadiahkan kenaikan pangkat atau jambangan bunga oleh yang tersayang. Walaupun terdapat pelbagai perubahan emosi, anda masih mampu bekerja dengan baik, menjalinkan hubungan baik dengan pasangan, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Syabas, anda masih mempunyai kesihatan mental yang baik.

Apakah Bipolar Disorder ?

Bipolar Disorder adalah penyakit mental yang melibatkan perubahan emosi yang melampau. Bipolar atau dwikutub menggambarkan bahawa pada masa tertentu individu tersebut berada pada kutub tertentu dan pada masa yang lain ia boleh berada pada kutub bertentangan. Individu yang mengidap penyakit ini boleh berada pada suatu kutub dipanggil episod manik ( manic episode) atau ia boleh berada pada kutub bertentangan dipanggil episode kemurungan ( depressive episode)

Apakah itu episode manik?

Manik episode adalah ( RUJUK DSM IV) suatu episod dalam kehidupan anda apabila anda berterusan selama lebih seminggu atau 7 hari ( kecuali jika anda dimasukkan ke hospital) mengalami:


-Mood atau emosi melampau ( elevated and expansive mood), abnormal dan mudah marah, terasa, terasa dan resah ( irritable)
-Terlalu bangga diri dan peningkatan self esteem (grandiosity)
-Hanya memerlukan tidur yang singkat ( tidak mengantuk dan masih segar walaupun tidur kurang daripada 3 jam)
-Sentiasa bercakap banyak ( pressure of speech) lebih daripada biasa
-Mempunyai terlalu banyak idea , fikiran atau topik yang difikirkan ( flight of ideas)
-Fikiran tidak tenteram dan konsentrasi mudah terganggu ( distractability) oleh perkara remeh- temeh
-Terlalu banyak perancangan dan aktiviti yang mahu dilakukan (increase goal-directed activity)
-Terlibat dalam banyak aktiviti yang menyeronokkan walaupun ia merbahaya cth.nya melakukan hubungan seks rambang kerana nafsu meningkat, melabur atau berbelanja membeli barang mahal walaupun kesempitan wang ( spending spree)

Apabila anda diserang penyakit ini fungsi anda terjejas; anda tidak dapat mengawal diri, pekerjaan anda merosot, hubungan anda dengan orang lain juga terganggu.

(RUJUK GAMBARAJAH 2 : SENARIO PESAKIT BIPOLAR DISORDER : EPISOD MANIK)


Apakah itu episod kemurungan ?

Tanda-tanda kemurungan telah dibincangkan di ruangan kemurungan (RUJUK: KEMURUNGAN (MAJOR DEPRESSION).
Episod kemurungan yang lebih teruk dan kadar bunuh diri yang lebih tinggi boleh berlaku jika seseorang mengidap Bipolar Disorder


Kenapa Bipolar Disorder perlu rawatan?

Pesakit Bipolar Disorder perlu di rawat kerana apabila anda diserang penyakit ini fungsi anda terjejas; anda tidak dapat mengawal diri, pekerjaan anda merosot, hubungan anda dengan orang lain juga terganggu.

Perubahan emosi yang keterlaluan semasa episod manik boleh menyebabkan keburukan. contohnya :

-Pesakit memalukan diri sendiri kerana ia bercakap banyak dan merapu tanpa berhenti bercakap di khalayak ramai tanpa segan silu
-Pesakit boleh hilang pertimbangan kerana mengeluarkan wang beribu-ribu ringgit untuk berbelanja sehingga bankrupt
-Pesakit boleh melakukan hubungan seks rambang dengan pelacur, berkahwin banyak, merogol, menganiaya sesiapa sahaja kerana nafsu seks yang melonjak-lonjak.
-Pesakit boleh memulakan pertengkaran dan bergaduh kerana mudah salah faham, terasa hati dan mudah marah.
-Pesakit boleh mendapat psikosis dan mempercayai perkara karut seperti percaya bahawa dirinya tuhan, raja, penyanyi terbilang dll . Pesakit juga boleh mendapat lain-lain tanda psikosis seperti pesakit skizofrenia (RUJUK SKIZOFRENIA)
Lonjakan emosi menyebabkan hubungan dengan orang lain terganggu dan kadang-kadang melibatkan proses perundangan.


Bagaimanakah rawatan pesakit Bipolar Disorder?

Rawatan Bipolar Disorder adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual

Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.



Pesakit yang mengalami penyakit yang serius

Pesakit yang mendapat episod manik yang serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:

-merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu tidur langsung, tidak makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
-merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan

Ubat-ubatan:

-Ubat mood stabilizer perlu untuk menstabilkan mood pesakit dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik. Contoh mood stabilizer adalah Sodium valproate ( Epilim), Lithium carbonate, carbamazepine dan lamotrigine


-Ubat antipsikotik (antipsychotic) boleh juga diberi untuk menangani episode manik dan psikosis . Antipsikotik seperti Olanzapine ( zyprexa) dan Quatipine (serequel) boleh juga bertindak sebagai mood stabilizer dan diberi sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik .

-Ubat antidepressant perlu berhati-hati diberi kerana semasa episod kemurungan. Ia perlu diberi bersama mood stabilzer untuk mengelakkan ubat ini mencetus episod manik

-Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan dan agitasi tetapi diberi untuk tempoh yang singkat


-Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.


Rawatan Psikososial :

-Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
-Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
-Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
-Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
-Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan


Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian

-Supportive psychotherapy
-Cognitive Behavioural Therapy (CBT)
-Interpersonal Psychotherapy (IPT)
-Psychodynamic psychotherapy
-Family therapy
-Group Therapy


Pesakit yang mengalami episode manik yang ringan (hipomania) dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk tidak dimasukkan ke hospital tetapi rawatan mood stabilizer masih penting dan bantuan psikososial dan psikoterapi diperlukan jika bersesuian.

Untuk pengetahuan lebih lanjut sila rujuk: Malaysian Psychiatric Association ( Practice Guideline ;Management of Bipolar Disorder )

KEMURUNGAN
(MAJOR DEPRESSION)
(Bukan Psikosis)

Emosi

Tuhan telah menganugerahkan kita berbagai emosi ; gembira, susah hati, resah, tenang, cinta dan pelbagai lagi perasaan yang mewarnai hidup kita ini . Perasaan susah hati , gundah gulana, murung merupakan contoh emosi yang menggambarkan kesedihan.

Ia mempunyai spektrum daripada perasaan sedih yang tidak ketara kepada kesedihan yang melampau. Perasaan kita juga berubah-ubah dan berterusan dalam tempoh-tempoh tertentu. Si isteri mungkin merasa sedih selama dua atau tiga jam jika dimarahi suami dan kemudian gembira semula setelah keluar membeli-belah . Si isteri juga boleh merasa sedih sehingga berbulan-bulan jika kematian suami. Persoalannya, adakah semua perasaan sedih itu normal ?. Perlukah kita berjumpa doktor hanya kerana kita merasa sedih?.

Kemurungan (Major Depression)

Kemurungan atau depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat.

Kenapa kemurungan perlu dirawat?

Kemurungan perlu dirawat kerana ia merupakan penyakit yang boleh merosakkan diri kita melalui pelbagai aspek. Penyakit kemurungan menyebabkan kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Pesakit yang mengalami kemurungan tiada tenaga, tiada motivasi, sakit-sakit badan dan tidak bermaya untuk bekerja seperti biasa. Mereka akan ponteng bekerja, prestasi merosot dan menimbulkan masalah dengan majikan. Keluarga pesakit juga mendapat efek negatif kerana pesakit tidak lagi berfungsi sebagai suami , isteri atau ibubapa yang bertanggungjawab lagi Mereka tidak menjalankan tugas seharian dengan baik, hilang pertimbangan dan tiada kawalan diri.

Di peringkat yang teruk, pesakit mempunyai perasaan bersalah, tidak berguna dan akhirnya ingin membunuh diri. Psikosis juga boleh berlaku jika kemurungan tidak dirawat dengan segera.

Apakah tanda-tanda kemurungan?

Tanda-tanda utama kemurungan adalah perasaan sedih, tidak gembira atau tidak ceria yang berlarutan melebihi dua minggu. Perubahan biologi (seperti perubahan tidur, berat badan, selera makan , nafsu seks, tenaga dan sakit-sakit badan) dan perubahan kognitif ( seperti kurang tumpuan, mudah lupa, rasa bersalah, tiada keyakinan, putus harapan, rasa tidak berguna dan membunuh diri) juga boleh berlaku ( Rujuk gambarajah)

Terdapat juga pesakit yang mempunyai kemurungan atipikal. Kemurungan Atipikal ( Atypical depression) adalah kemurungan yang berlaku dengan tanda-tanda yang luar daripada biasa seperti selera makan yang bertambah (pesakit yang terlalu stress makan banyak untuk hilangkan stress), berat badan akan bertambah (kerana makan dengan banyak) dan mereka juga banyak tidur. Ini berbeza daripada kemurungan biasa di mana pesakit tiada selera makan, berat badan menurun dan susah untuk tidur.
Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, mereka mungkin mempunyai tanda-tanda kemurungan yang tidak ketara dan sukar dikesan kerana mereka mempunyai tanda-tanda yang berbeza yang dipanggil masked depression. Bagi kanak-kanak dan remaja kemurungan sukar dikesan kerana mereka mungkin mempunyai tanda-tanda seperti masalah tingkahlaku , sakit-sakit perut, histeria sebagai presentasi kemurungan. Bagi orang tua pula, kebanyakan mereka mempunyai masalah-masalah seperti gastritis, sakit kepala, sakit sendi, mudah lupa dan pseudodementia sebagai tanda kemurungan.
Siapakah yang berisiko untuk mendapat kemurungan?
Jantina: Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki . 15 - 25% kaum wanita boleh mendapat penyakit ini.
Umur: Purata pesakit berumur 40 tahun. 50% daripada mereka yang mengalami kemurungan berumur antara 20-50 tahun. Kemurungan juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua.
Taraf perkahwinan: Kemurungan lebih kerap berlaku di kalangan individu yang tiada pasangan hidup seperti duda, janda dan balu berbanding individu yang berkahwin.
Keluarga : Kemurungan adalah penyakit turun temurun. Jika anda mempunyai keluarga ( seperti ibu, bapa atau adik-beradik) yang mengalami penyakit ini, anda 2-3 kali lebih daripada orang lain untuk mendapat kemurungan
.
Apakah penyebab kemurungan?

Kemurungan disebabkan oleh interaksi faktor-faktor biopsikososial.

Di antara faktor psikososial kemurungan:
  • Masalah sosial seperti menjadi mangsa penganiayaan , penderaan fizikal atau seksual, kematian orang tersayang, putus cinta, kesempitan wang, gagal dalam pekerjaan, pelajaran dan lain-lain lagi. Masalah sosial ini mungkin telah lama dialami tetapi masih menjadi memori kepada pesakit dan boleh mencetus kemurungan.
  • Cara menyelesaikan masalah: Kemurungan lebih mudah berlaku di kalangan individu yang tidak tahu cara yang baik untuk menyelesaikan masalah. Individu yang mempunyai Coping Strategy dan problem solving technique yang betul dan produktif lebih mudah menangani masalah dan kurang risiko untuk murung.
  • Personaliti. Tiada satu personaliti tertentu yang menyebabkan individu mendapat kemurungan, tetapi terdapat individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti terlalu obsessif ( terlalu teliti, bercita-cita tinggi dll), dependent ( bergantung kepada orang lain dan non assertive ( tidak mampu menegakkan hak sendiri) yang mudah mendapat kemurungan.
Diantara faktor biologi kemurungan:
  • Ketidakseimbangan neurotransmitter (seperti serotonin, noradrenalin, dopamin) dan reseptor ( seperti reseptor 5 HT2, ) yang penting dalan fungsi otak dan saraf
  • Ketidakseimbangan regulasi hormon seperti hormon kortisol dan tiroid
  • Patologi di otak seperti dilatasi ventrikel, patologi limbik sistem, prefrontal dan basal ganglia
  • Faktor genetik
  • Jangkitan virus di awal kelahiran atau di peringkat janin.
Bagaimana kemurungan di rawat?
Rawatan kemurungan adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual
Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.
Pesakit yang mengalami kemurungan serius
Pesakit yang mendapat kemurungan serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:
  • merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
  • merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
  • mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan
Ubat-ubatan:
  • Ubat antidepressant perlu untuk menangani kemurungan dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik
  • Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan tetapi diberi untuk tempoh yang singkat
  • Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.
Rawatan Psikososial :
  • Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
  • Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
  • Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
  • Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
  • Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan
Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian
  • Supportive psychotherapy
  • Cognitive Behavioural Therapy (CBT)
  • Interpersonal Psychotherapy (IPT)
  • Psychodynamic psychotherapy
  • Family therapy
  • Group Therapy
Pesakit yang mengalami kemurungan ringan dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk bantuan psikososial dan psikoterapi sahaja.
Untuk pengetahuan lebih lanjut sila rujuk: Malaysian Psychiatric Association ( Practice Guideline ;Management of Major Depressive Disorder 2007)

Kelemahan psikoterapi: Petikan dari KOSMO perlukan penjelasan

Berikut adalah artikel di petik dari KOSMO "Individu yang mendapatkan khidmat kaunseling atau terapi seharusnya meninggalkan sesi dengan perasaan positif dan lapang dada. Pada masa sama, ia juga boleh meninggalkan kesan trauma. SOAL jawab sebenarnya boleh menjadi lebih teruk bagi individu mendapat post-traumatic stress disorder (PTSD) iaitu gangguan tekanan selepas trauma. .SEPERTI mereka yang menjalani rawatan terapi, Karen Masters berharap untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan dan tabah. Tetapi setahun kemudian, dia meninggalkan sesi soal jawab terakhirnya tentang apa yang sering difikirkan adalah kekuatan hubungan dengan ibu dan imbasan mengenai penderaan seksual yang tidak pernah diketahui akan berlaku. Kariernya terjejas dan rumah tangganya hancur. ..............................." - KOSMO 25 Mac 2008



Apakah itu psikoterapi?
Perlu dibezakan dengan kaunseling , psikoterapi adalah suatu terapi yang tersusun, mempunyai matlamat yang jelas, memerlukan komitmen daripada pesakit dan pakar psikiatri atau pakar psikologi terlibat dan mengambil masa yang lama dan berjadual untuk merawat pesakit yang memenuhi kriteria yang tertentu. Ia digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami gangguan atau masalah psikologi.

Apakah contoh-contoh psikoterapi?

Psychoanalytic Psychotherapy: Psikoterapi ini membolehkan pesakit bercakap mengenai apa sahaja yang terlintas di kotak fikirannya tanpa dipengaruhi oleh pakar terlibat. Pakar akan menganalisa sebarang kesukaran meluahkan perasaan (resistance) dan psikologi hubungan yang terjalin antara pesakit dengan orang lain termasuk hubungan pesakit dengan terapis ( transference & counter-transference) . Analisa banyak dilakukan ke atas peristiwa yang telah lalu dan perkara-perkara lalu yang berlaku secara tanpa disedari oleh pesakit. Sebarang peristiwa lampau yang telah berlaku kepada pesakit harus diteliti dengan baik.
Perlu diingat hanya pesakit yang mempunyai mudah faham tentang penjelasan psikologi , mempunyai motivasi, individu yang mahu memahami psikologi diri, mampu menangani stress dan keresahan, dan tidak mudah acting out dipilih sebagai calon pskoterapi jenis ini.
Cognitive Behavioural Therapy: Terapi ini banyak membincangkan hal-hal semasa yang berlaku sekarang dan tidak menyelami peristiwa yang telah lepas. Pesakit perlu mempunyai motivasi untuk mengubah tingkahlaku mereka melalui analisis terhadap fikiran-fikiran negatif yang mereka tidak sedar sebelum ini. ini memerlukan pesakit kerap berjumpa doktor dan menulis diari tentang fikiran dan tingkah laku mereka. Banyak kajian menunjukkan CBT amat berkesan dan berjaya mengatasi dan mengurangkan gangguan dan masalah pesakit
Interpersonal Psychotherapy Terapi ini banyak membincangkan mengenai hubungan pesakit dengan orang lain, perubahan atau transisi kehidupan, akibat daipada kehilangan orang tersayang, sesuatu barang berharga dan sebagainya. Ia juga memrlukan pesakit menulis diari untuk berbincang cara mengatasi masalah mereka
Supportive Psikoterapy Peranan terapis dalam terapi ini hanyalan mendengar, memberi penjelasan, memberi cadangan alternatif , buruk baik sesuatu tindakan pesakit. Perlu diingat terapis tidak menentukan keputusan yang bakal diambil oleh pesakit. Terapis hanya mengajar dan berbincang bagaimana menyelesaikan masalah mereka tetapi penyelesaian sebenar ditangan pesakit.

Apakah kriteria untuk psikoterapi?
  • Dapat meluangkan masa untuk berjumpa terapis lebih kurang seminggu sekali untuk lebih kurang 3-4 bulan. Setiap sesi mengambil masa lebih kurang sejam
  • Mempunyai minda terbuka untuk memahami psikologi diri
  • Mempunyai pengetahuan (IQ) yang dapat memahami penjelasan yang diberi oleh terapis
  • Boleh menulis diari tentang tingkahlaku dan fikiran yang berlaku setiap hari untuk dibincang dengan terapis.
  • Tidak mempunyai masalah psikiatri ketara seperti psikosis, persaan bunuh diri, kemurungan yang melampau.
Apakah benar psikoterapi boleh memudaratkan?
Banyak perkara boleh memudaratkan jika anda tidak melakukannya dengan betul. Oleh itu dapatkanlah pakar dalam bidang ini untuk rawatan yang berkesan. Jika anda sukar untuk memenuhi kriteria untuk psikoterapi seperti yang dijelaskan, mungkin paling selamat dapatkanlah supportive psychotherapy dan rawatan ubat-ubatan sahaja yang juga berkesan merawat anda.

Bagaimana seseorang di diagnos sebagai mengidap skizofrenia?

Pakar psikiatri atau doktor yang terlatih dalam bidang ini memberi diagnosis skizofrenia setelah mendapat penjelasan yang lengkap sejarah penyakit seseorang individu itu secara menyeluruh daripada individu itu sendiri, pasangan, keluarga dan kadang-kadang penjelasan daripada rakan-rakan , penyelia, majikan dan individu lain yang mengenali mangsa


Diagnosis yang lengkap biasanya dibuat setelah pemerhatian klinikal dan perbincangan di kalangan petugas kesihatan yang terlibat memberi rawatan kepada pesakit. Ia bukanlah tugas mudah kerana diagnosis skizofrenia berhubung kait dengan stigma yang ketara di mata masyarakat dan bebanan yang besar bakal dipikul oleh pesakit dan keluarga. Maka diagnosis tepat perlu di buat.

Terdapat beberapa kriteria untuk diagnosis skizofrenia. Pakar biasanya berpandukan kiteria DSM IV ( sila rujuk diruangan INFORMASI LANJUT ) atau ICD 10 untuk mendiagnos penyakit skizofrenia.

Seseorang individu juga adalah cenderung mengidap skizofrenia jika beliau mempunyai simptoms yang di kenali sebagai Scheneider’s First Rank Symptoms. Di antara резреж simptoms tersebut adalah:

Person Auditory Hallucination:
Halusinasi ini berlaku apabila pesakit mendengar banyak suara yang bersembang di antara mereka mengenai pesakit (Hallucinated voices talking or arguing among themselves about the patient). Contohnya; pesakit dengar jin bercakap dengan hantu “ dia itu (pesakit) memang tidak berguna langsung”.

Running Commentary:
Halusisnasi ini berlaku apabila pesakit mendengar suara yang terus mengkritik setiap perbuatanya (Hallucinated voices describing the patient’s activity as it takes place) contohnya; “ dia sedang makan , dia bangun dari kerusi , dan terus lari”

Thought echo berlaku apabila pesakit mendengar otaknya sendiri bercakap dengan kuat apabila berfikir (Hallucinated voices speaking the patient’s thoughts aloud)

Thought withdrawal; seorang merasai bahawa pemikirannya telah dibawa keluar daipada kotak fikirannya oleh sesuatu kuasa asing (the patient believes his thoughts are being removed from his mind by an outside force).Contohnya pesakit merasai bahawa otaknya kosong kerana fikirannya telah ditarik keluar oleh jin

Thought insertion Seseorang merasai bahawa sesuatu kuasa asing telah memasukkan pemikiran luar ke dalam kotak fikirannya (the patient believes thoughts are put into his mind by an external force) contohnya; pesakit merasai bahawa pihak UFO telah memasukkan cip berfungsi menggantikan otak dan fikirannya.

Thought Broadcasting: Seseorang merasai bahawa pemikirannya dapat dibaca atau diketahui oleh orang lain tanpa beliau memberitahunya (the patient believes his thoughts are somehow made known to others). Contohnya: pesakit percaya bahawa doktor dapat membaca fikiran mereka

Passivity Phenomenon:
made action : percaya bahawa perbuatannya dikawal oleh kuasa luar (the patient believes his affect is controlled by an outside force) contohnya. percaya bahawa jin telah mengawal tangan pesakit untuk menyembelih ayam tersebut
made feeling, percaya bahawa persaan dikawal oleh kuasa luar (the patient believes his affect is controlled by an outside force) Contohnya. Pesakit menangis kerana kuasa yang mengawal tangisannya.
made volition: percaya bahawa kehendak pesakit datang dari kuasa luar (the patient believes his affect is controlled by an outside force). Contohnya.pesakit membunuh mangsa kerana merasa dipaksa oleh kuasa syaitan

Delusional perception: Fenomena di mana seseorang mempunyai persepsi yang normal tetapi diikuti interpretasi atau kepercayaan yang karut (delusi) terhadap persepsi it ( a two-stage phenomenon consisting of a normal perception followed by a delusional interpretation of it as having a special and highly personalized significance). Contohnya; seseorang pesakit yang melihat pen tergantung (normal perception) mempunyai kepercayaan karut bahawa dunia nak kiamat (delusi)

Somatic Passivity : percaya bahawa dirinya adalah pasif dan sensasi yang dirasai di tubuhnya adalah perbuatan kuasa luar.(the patient believes he is the passive recipient of bodily sensations imposed from the outside) .contohnya. pesakit dapat merasai dirinya diperkosa oleh jin.

Selain daripada kriteria di atas dan tanda-tanda penyakit yang telah dibincangkan terlebih dahulu (rujuk Skizofrenia). Pesakit biasanya mempunyai kemerosotan atau perubahan yang ketara dalam aspek-aspek kehidupan .Contohnya pesakit tidak lagi dapat bekerja dengan baik dan prestasi kerja merosost. Pesakit tidak lagi dapat menjaga anak-anak dan melakukan kerja-kerja di rumah dengan baik. Hubungan dengan pasangan, keluarga dan masyarakat terjejas

SKIZOFRENIA (Schizophrenia)

Apakah itu skizofrenia?
Skizofrenia adalah salah satu penyakit otak dan mental yang serius. Perkataan skizofrenia atau schizophrenia hanya kerap digunakan oleh para doktor. Perkataan ini agak asing bagi orang ramai kerana ia jarang digunakan. Orang ramai biasanya menggunakan perkataan seperti “orang gila” , “orang sakit mental” atau "psycho" terhadap pesakit skizofrenia. Namun penggunaan perkataan “gila” dan “sakit” ini adalah kadang-kadang disalah- ertikan kerana penyakit mental sebenarnya ada bermacam jenis dan tidak semuanya adalah skizofrenia.
Apakah tanda-tanda skizofrenia?

Tanda-tanda atau simptom penyakit skizofrenia adalah banyak dan kompleks. Tanda-tanda penyakit ini boleh dibahagikan kepada beberapa tanda penting

  • Tanda-tanda positif (positive symptoms)
  • Simptoms negatif (negative symptoms)
  • Gangguan kognitif
  • Gangguan Emosi
  • Lain-lain tanda
TANDA-TANDA POSITIF

Psikosis
Psikosis adalah simptom penting skizofrenia. Pesakit yang mendapat psikosis boleh mengalami delusi (delusion) atau halusinasi (hallucination). Delusi adalah kepercayaan karut yang dipercayai dengan sangat kukuh oleh pesakit walaupun di pertikaikan atau diragui oleh orang lain. Kepercayaan karut ini tidak sejajar dengan budaya, agama, masyarakat , keadaan sosial sekeliling dan ilmu pengetahuan yang ada pada pesakit. Terdapat banyak jenis delusi. Contohnya:

Delusi paranoid (paranoid or persecutory delusion) : Mempercayai bahawa terdapat orang lain, kumpulan atau organisasi yang cuba untuk menganiaya , mencederakan, mendatangkan kemudaratan atau membunuh pesakit tersebut. Contohnya; percaya bahawa orang gaji telah memasukkan racun ke dalam makanan atau percaya bahawa majikan dan orang atas memasang perangkap untuk menjatuhkan maruah pesakit dan mengancam kedudukan jawatan pesakit .

Delusi kawalan ( delusion of control) : Mempercayai bahawa perbuatan , kemahuan dan perasaan menjadi pasif dan hanya dikawal oleh kuasa dari luar tanpa kehendak diri sendiri. Contohnya; tangan pesakit menumbuk seseorang kerana di paksa oleh kuasa lain tanpa kawalan dan kehendak dirinya sendiri, merasai makhluk telah masuk ke dalam badan dan memaksa membunuh anak

Delusi pelik (bizarre delusion): Mempercayai dengan kukuh sesuatu yang pelik. Contohnya; percaya bahawa malaikat telah datang menyerang bumi dan syaitan akan datang menyerang pula bumi setelah kematian jin.

Delusi grandiose (grandiose delusion): Mempercayai bahawa dirinya mempunyai kelebihan tersendiri yang melampaui orang lain di dunia ini. Contohnya; percaya bahawa dirinya adalah nabi yang turun untuk menyelamatkan dunia ini, percaya bahawa dirinya boleh berkomunikasi dengan tuhan, percaya bahawa dirinya boleh mencipta kenderaan untuk sampai ke bulan dengan sekelip mata, percaya bahawa dirinya raja memerintah dan banyak lagi.

Delusi nihilistik (nihilistic delusion): Mempercayai bahawa diri sendiri atau sebahagian daripada tubuh badan sudah tidak wujud lagi atau mempercayai bahawa dunia sudah tidak wujud lagi. Contohnya percaya bahawa darah tidak mengalir lagi dalam tubuhnya.

Delusi merujuk (delusion of reference); Mempercayai bahawa orang lain di sekeliling bercakap mengenai dirinya. Contonya; percaya bahawa jiran bersembang mengenai dirinya, percaya bahawa televisyen menyiarkan cerita mengenainya.

Terdapat banyak lagi contoh –contoh delusi dan perlu diingat, kepercayaan yang ada pada pesakit itu hanyalah kepercayaan karut yang tidak sebenarnya berlaku tetapi kepercayaan ini sangat kukuh dipercayai oleh pesakit walaupun beliau cuba di cabar.

Deria yang normal memerlukan stimulus yang dikesan oleh organ deria dan diinterpretasi oleh otak. Halusinasi berlaku apabila tiada stimulus dikesan oleh organ deria tetapi otak menginterpretasi sehinggakan stimulus dirasa seperti wujud oleh pesakit. Contohnya;

Halusinasi pendengaran (auditory hallucination); pesakit mendengar suara-suara atau bunyi walaupun orang lain tidak dapat mendengar.
Second person auditory hallucination berlaku apabila pesakit mendengar suara ghaib yang bercakap dengan mereka dan biasanya menyuruh pesakit melkukan sesuatu. Contohnya; pesakit dengar “ awak bunuh sahaja budak itu kerana ia dajal’, “awak bodoh”.
Third person auditory hallucination berlaku apabila pesakit mendengar banyak suara yang bersembang di antara mereka mengenai pesakit. Contohnya; pesakit dengar jin bercakap dengan hantu “ dia itu (pesakit) memang tidak berguna langsung”.
Running commentary berlaku apabila pesakit mendengar suara yang terus mengkritik setiap perbuatanya, contohnya; “ dia sedang makan , dia bangun darin kerusi , terus lari”
Thought echo berlaku apabila pesakit mendengar otaknya sendiri bercakap dengan kuat apabila berfikir.

Halusinasi penglihatan ( visual hallucination ) berlaku apabila pesakit dapat melihat sesuatu dengan jelas tanpa dapat dilihat oleh orang lain, contohnya, pesakit dapat melihat malaikat datang menghampiri mereka. Ini perlu dibezakan dengan illusi di mana stimulus telah dikesan oleh pesakit tetapi diinterpretasi secara salah oleh otak, contohnya; pesakit melihat ular berlingkar tetapi sebenarnya adalah ikatan tali.

Terdapat juga halusinasi lain seperti halusinasi somatik atau halusinasi taktil di mana pesakit merasa seperti terdapat sesuatu bergerak atau merasa kesakitan pada badan, halusinasi bau di mana pesakit dapat menghidu sesuatu tanpa orang lain dapat menghidunya dan halusinsi rasa
Pertuturan Merapu (disorganized speech)

Masalah pertuturan pesakit skizofrenia berlaku dalam banyak jenis bergantung kepada keadaan penyakit tersebut. Kebanyakan pesakit skizofrenia boleh bertutur secara normal dan menjawab soalan dengan baik. Mereka juga boleh menjawab soalan tetapi jawapan yang diberi tidak berkaitan (irrelevant) dengan soalan walaupun bahasa yang disampaikan difahami. Mereka juga boleh menjawab soalan tetapi tidak sepatah pun bahasa yang difahami (incoherent). Di bawah diberi contoh perbualan pesakit dengan doctor untuk menggambarkan psikopatologi yang dinyatakan:

Doktor: Siapa yang beri kamu duit?
Pesakit: Ke mana-mana saya nak pergi tidak siapa peduli saya. (irrelevant speech)

Doktor: Siapa beri kamu duit?
Pesakit: Bambu telinga kejar apa lagi (incoherent speech)

Pesakit juga boleh dilihat oleh orang lain bercakap seorang diri kerana mereka respons terhadap halusinasi suara ghaib yang didengar.
Terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak langsung mahu bercakap sepatah jawapan pun ( mute) atau bercakap sepatah dua sahaja ( poverty of speech) dan sesetengahnya banyak pula bercakap ( pressure of speech). Ada pesakit yang mengikut sahaja apa-apa sahaja yang ditanya kepada mereka (echo lalia). Sesetengah pesakit menjawab soalan dengan baik dan terdapat juga yang menjerit-jerit dan meninggikan suara semasa menjawab soalan.
  
Tingkahlaku dan Perbuatan Pelik (Disorganized Movement)

Di antara tingkahlaku pelik yang dilakukan oleh pesakit skizofrenia adalah:
Mannerism : Perbuatan pelik yang dilakukan oleh pesakit seolah-olah mempunyai satu tujuan. contohnya, menepuk-nepuk tangan, bersalaman secara tiba-tiba
Streotypy: Perbuatan pelik berulangan yang dilakukan oleh pesakit tanpa tujuan contohnya menggoyang-goyangkan tangan tanpa tujuan , melambai - lambai dll.
Catatonia: (Catatonic rigidity) mengeraskan badan dengan sengaja dan tidak membenarkan orang lain menggerakkan badan, ( catatonic stupor) pergerakan badan yang terlalu perlahan seolah-olah tidak berinteraksi dengan rangsangan luar, (catatonic posture) postur badan yang pelik dan pesakit dapat bertahan dengan lama dalam postur tersebut, ( waxy flexibilty) postur badan pesakit yang dapat dibentuk oleh orang lain dan pesakit bertahan dengan postur itu dalam jangkamasa yang lama.
Psychomotor Agitation: terlalu banyak pergerakan kerana keresahan jiwa dan pergerakan tidak produktif tanpa tujuan.
Echopraxia: mengikut perbuatan orang lain

TANDA-TANDA NEGATIF SKIZOFRENIA
tanda-tanda negatif skizofrenia biasanya melibatkan fungsi dan aktiviti pesakit terjejas. Mereka yang mempunyai tanda ini bersikap malas,tidak mahu bercakap, tiada motivasi, tidak mahu bergerak atau membuat kerja dan seolah-olah tidak mempunyai perasaan.:

Alogia (a-LO-jee-a) and poverty of speech: bercakap dengan sedikit , pertuturan tidak mempunyai isi dan perkara penting , dan mengambil masa yang lama menyambung perkataan dan ayat yang dipertuturkan seolah-olah pertuturan terhalang .
Flattening or blunting of affect: Terlalu kurang ekspressi muka. Mereka tidak senyum ketika gembira atau mengerutkan dahi ketika sedih. Mereka tiada hubungan emosi dengan orang yang bercakap dengannya, seolah-olah anda bercakap dengan robot.
Avolition and anhedonia: Hilang minat dan tenaga untuk melakukan perkara yang biasa mereka lakukan.
GANGGUAN EMOSI

Pesakit skizofrenia juga boleh mendapat kemurungan (RUJUK KEMURUNGAN) dan episod mania ( RUJUK BIPOLAR DISOERDER), Maka sejarah penyakit perlulah tepat untuk mendapat diagnosis yang tepat kerana rawatan yang tepat perlu diberikan.

Emosi pesakit skizofrenia juga boleh bercelaru dan tidak sejajar dengan apa yang mereka fikirkan ( the affect is not congruent to the thought) . Contohnya: Fikiran pesakit penuh dengan kesedihan tetapi beliau menyanyi kegembiraan.
Kadar bunuh diri pesakit skizofrenia adalah tinggi (10%). Ia boleh berlaku kerana mereka mempunyai kemurungan melampau dan psikosis yang menyuruh mereka membunuh diri.

GANGGUAN KOGNITIF

Pesakit skizofrenia boleh mendapat gangguan kognitif yang menyebabkan mereka mempunyai IQ yang lebih rendah. Mereka tidak dapat membuat keputusan dengan baik, kurang penumpuan danmemori yang kurang baik

GANGGUAN LAIN
Pesakit skizofrenia dikaitkan juga dengan tingkah laku agresif. Tetapi perlu diingat pesakit skizofrenia bukanlah lebih merbahaya daripada orang normal. Kadar jenayah keganasan dilakukan oleh mereka yang mengidap ketagihan alkoho atau dadah, masalah personaliti dan mereka yang tidak mempunyai sakit mental berbanding kadar jenayah yang dilakukan oleh pesakit skizofrenia.